Setinggi kesyukuran di atas segala rahmat dan keizinan dari Nya di mana pada hari ini tanggal 3 Zulhijjah, bersamaan 22 Jun pihak SMI Hira’ telah dikunjungi oleh tetamu dan delegasi yang cukup istimewa dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Lawatan mahabbah delegasi JAKIM ke SMI Hira’ ini telah diketuai oleh AlFadhil Ustaz Bukhari Bin Md Akhir, Timbalan Pengarah Bahagian Dasar Kemajuan Islam. Turut bersama adalah Ustaz Hanifuddin Bin Roslan, selaku Pengarah Bahagian Pendidikan Islam.
Lawatan yang cukup bersejarah ke Institusi Pendidikan Hira’ (IPH) ini
diadakan ketika mana warga SMI Hira’ turut meraikan perasmian hari Sukan Kompeni 2023 (SUKOM’23).
Sesi lawatan dimulai dengan ucapan aluan daripada pihak tuan rumah, iaitu Dr Abdul Rahman Mohamed, Pengerusi Lembaga Institusi Pendidikan Hira’, disusuli ucapan aluan oleh Pn Hjh Dr Kamaliah Binti Nordin, Timbalan Pengerusi IKRAM Musleh yang kemudian nya bersama mendengar ucapan aluan daripada ketua delegasi JAKIM, AlFadhil Ustaz Bukhari.
Lawatan Mahabbah JAKIM ke SMI Hira’ ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung pelaksanaan, pengoperasian dan tatakelola urus tadbir pengurusan SMI Hira’ sebagai sebuah sekolah berasrama penuh bernuasa Islam dengan menawarkan pakej aliran tahfiz Al-Quran bersepadu sejak penubuhannya hampir 40 tahun hingga kini.
Selain itu, sesi pembentangan berkenaan sejarah, perkembangan dan pencapaian sekolah telah disampaikan oleh tuan pengetua SMI Hira’ iaitu Ustaz Isharuddin Bin Ismail, di mana dilanjutkan seterus nya dengan sesi perbincangan dua hala pelbagai isu pendidikan dan dakwah terkait aspek pengurusan kurikulum, pendaftaran, pensijilan, peruntukan kewangan, latihan, cabaran dan halatuju pendidikan Islam dan tahfiz masa depan dan sebagai nya.
Alhamdulillah, sesi lawatan yang cukup bermakna ini diakhiri dengan rumusan penutup oleh ketua delegasi sebelum diraikan dalam majlis penyampaian sumbangan cenderahati kenangan daripada pihak SMI Hira’ kepada semua delegasi yang hadir. Moga hubungan erat ini terus terjalin kukuh demi manfaat pendidikan dan dakwah umat.
Terima kasih JAKIM atas kunjungan ziarah mahabbah nya ke SMI Hira’. Barakallahu feekum.